Isnin, 16 Februari 2009

Penulisan Kata Bahasa Melayu

Rangkai Kata Umum

Semua frasa atau rangkai kata sama ada dua atau lebih hendaklah ditulis terpisah, contohnya:


jalan raya, lebuh raya, bandar raya, kereta api, ambil alih, susun atur, maklum balas, tengah hari, warga kota, atur cara, sari kata, urus setia, reka bentuk, kemas kini

Kekecualian bagi nama khas yang digezetkan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Keretapi Tanah Melayu


Kata Yang Telah Mantap

Kata yang telah mantap ditulis sebagai satu perkataan, contohnya:

kerjasama, kakitangan, sukarela, matahari, setiausaha, warganegara, antarabangsa, bumiputera, suruhanjaya, pesuruhjaya, tandatangan, tanggungjawab, jawatankuasa, olahraga, beritahu


Rangkai Kata Umum Berimbuhan

a. Kata yang menerima awalan atau akhiran sahaja ditulis sebagai dua perkataan, contohnya:

diambil alih, menerima pakai, kenal pastikan, diguna semula

b. Kata yang menerima apitan ditulis sebagai satu perkataan, contohnya:

pengambilalihan, pengenalpastian, pengemaskinian


Penggunaan Huruf Besar dan huruf Kecil

a. Nama khas -

Ahad, 15 Februari 2009

Isi Tersurat

1. Isi tersurat bermaksud isi-isi yang dinyatakan atau dipaparkan dalam petikan.

2. calon-calon dikehendaki menyenaraikan isi-isi utama dalam petikan.

3. Biasanya sesuatu petikan mengandung 2 - 8 isi tersurat.

4. Isi tersurat ini MESTI menepati dan berada dalam ruang lingkup kehendak arahan soalan.

5. Dicadangkan isi tersurat ini dipersembahkan dalam bentuk satu ayat bagi setiap isi.

6. Isi tersurat perlu mempunyai subjek dan predikat sahaja. Semua unsur keterangan dalam subjek dan predikat tidak perlu diambil sebagai isi tersurat.

7. Penerangan subjek dan penerangan predikat dapat dikenal pasti, antaranya:

a. Contoh langsung - contohnya, misalnya, termasuk, umpamanya, dalam bentuk dan lain-lain.

Jumlah media cetak seperti akhbar, buku dan majalah telah berkembang dengan pesat.

b. Contoh tidak langsung - dengan, menerusi, ialah dan lain-lain.

Tindakan kerajaan terhadap pengemis dengan menangkap, menempatkan di rumah kebajikan atau menghantar pengemis asing ke negara asal mereka menelan belanja yang besar.

c. Huraian sesuatu konsep

MARDI badan yang memainkan peranan utama dalam menjalankan penyelidikan dalam bidang pertanian berjaya menemui baka koko jenis baru.

d. Huraian isi

Setiap sekolah perlu mempunyai kakitangan dan peralatan yang mencukupi. Tidak masuk akal sekiranya pengajaran dan pembelajaran tidak boleh dilakukan kerana masalah kekurangan guru dan kekurangan alat bantu mengajar.

Isi Tersirat

1. Isi tersirat tidak terdapat petikan.

2. isi tersirat perlu diolah sendiri oleh calon berdasarkan fokus kedua dalam soalan.

3. Isi tersirat MESTI menjawab/memenuhi kehendak arahan soalan.

4. Dicadangkan isi tersirat dipersembahkan dalam satu ayat bagi setiap isi.

5. Isi tersirat memerlukan calon berfikir secara kreatif dan kritis.

6. Dicadangkan minima dua (2) isi tersirat.

7. Berikut diberikan beberapa contoh mencari isi tersirat.

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah mengatasi masalah demam denggi dan implikasinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

Isi tersirat

a. Wabak denggi mudah berjangkit dan membawa maut.

b. Wabak denggi boleh menyebabkan demam yang berpanjangan dan menggganggu tugas seharian kita.

Kesimpulan Rumusan

1. Kesimpulan ialah cadangan/gagasan/harapan.

2. Kesimpulan merupakan rayuan calon kepada pihak-pihak tertentu untuk melakukan sesuatu supaya isu yang dibincangkan diambil tindakan.

3. Kesimpulan perlu dibuat dalam satu ayat sahaja.

4. Kesimpulan seelok-eloknya dimulakan dengan:

Kesimpulannya,...............
Kerjasama semua pihak perlu untuk ..............
Oleh yang demikian,.................

Pendahuluan Rumusan

Menulis Pendahuluan

1. Pendahuluan bermaksud pemahaman calon tentang keseluruhan petikan.
2. Jadi, isi pendahuluan ialah idea utama/tema/isi pokok.
3. Kata kunci arahan soalan (FS) boleh dijadikan panduan untuk menulis pendahuluan.
4. Baca petikan yang dikemukakan dengan teliti.
5. Fahami maksud keseluruhan petikan dan kenal pasti mesej utamanya.
6. Ingat semula fokus soalan (FS), iaitu fokus pertama (F1) dan fokus kedua (F2) yang diperolehi semasa menganalisis soalan.
8. Bina pendahuluan rumusan berdasarkan idea utama/keseluruhan petikan.
9. Seelok-elok pendahuluan ditulis dalam satu ayat dan dimulakan dengan:

Petikan membincangkan .................
Petikan menyentuh ..................
Petikan memperkatakan ................

10. Berikut diberikan contoh menulis pendahuluan petikan rumusan:

Arahan soalan
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini dan kesan-kesannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

Pendahuluan:
Petikan membincangkan masalah yang berpunca daripada kemasukan pekerja asing ke negara kita. (2 markah)

Petikan membincangkan tentang sebab-sebab kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini dan kesan-kesannya.

Petikan membincangkan punca-punca kedatangan pendatang asing ke negara ini. (1 markah)