Selasa, 24 Julai 2012

Tatatingkat Unit Bahasa

Dalam tatatingkat unit tatabahasa, sekurang-kurangnya terdapat lapan elemen bahasa yang dapat disusun mengikut hirarki, iaitu:

Wacana
Satuan bahasa yang terlengkap/terbesar /tertinggi dengan koherensi dan kohesi yang berkesinambungan, yang mempunyai permulaan dan pengakhiran yang nyata dan disampaikan secara lisan atau tulisan. Ditandai dengan penanda wacana.
 Contoh:
Penanda wacana - sehubungan itu, Oleh hal yang demikian, seterusnya, oleh itu dsb.

 Ayat
Unit pengucapan yang paling tinggi dalan susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap.
Contoh:
Universiti Multimedia merupakan universiti swasta yang pertama ditubuhkan di Malaysia.

Klausa
Unit rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat, dan menjadi konstituen ayat.
Contoh:
Saya tidak hadir kuliah hari ini / kerana saya demam.

Frasa
Unit yang terdiri daripada satu susunan yang sekurang-kurangnya mengandungi dua perkataan atau satu perkataan yang berpotensi untuk diperluaskan.
Contoh:
o anak burung
o anak burung merpati
o anak burung merpati putih

Kata
Bentuk bebas terkecil, makna lengkap dan dapat berdiri sendiri dalam ayat.
Contoh:
saya, bola, makan, kacang

Morfem
Unit terkecil dalam bahasa yang membawa makna atau tugas tatabahasa.
Contoh:
o baca
o membaca
o bacaan
o terbaca

Fonem
Satuan bunyi terkecil yang dapat membezakan makna
Contoh:
o Paya
o Gaya
o Raya
o Saya
(Fonem /p/, /g/, /r/, /s/. membezakan makna)

Fon
Unit terkecil yang dapat dipisahkan daripada rangkaian bunyi.
Contoh:
kasut = /k/, /a/, /s/, /u/, /t/.

Rabu, 25 Januari 2012

KARANGAN BERDASARKAN BAHAN RANGSANGAN MENENGAH RENDAH

Pengenalan

a. Karangan berdasarkan bahan rangsangan atau karangan berpandu membawa 20 markah.

b. Masa yang dicadangkan ialah 20 minit.

c. Karangan berpandu bermaksud bahan untuk menulis karangan telah disediakan seperti gambar tunggal, bersiri atau jadual dan calon diminta menulis karangan berdasarkan maklumat yang diberi.

d. Panjang karangan tidak melebihi 120 patah perkataan.

Cara Menjawab

a. Baca kata kunci soalan untuk mengetahui apa yang dikehendaki oleh soalan. Kata kunci merupakan tema atau kehendak soalan.

b. Tajuk karangan merupakan tema. Tulis karangan berdasarkan maklumat yang diberi.

c. Calon dicadangkan menulis sekitar tiga isi.

d. Karangan keseluruhannya mengandungi lima perenggan, iaitu pendahuluan (1 perenggan), isi (3 perenggan) dan penutup (1 perenggan).

e. Idea sendiri berupa cadangan boleh dimasukkan dalam bahagian penutup.

f. Digalakkan meletakkan peribahasa atau kata-kata hikmat.

Teknik memperoleh markah cemerlang

a. Penggunaan kata dan ayat gramatis.

b. Ejaan dan tanda baca perlu betul.

c. Terdapat kesalahan minimum dalam penggunaan kata.

d. Idea yang relevan berdasarkan tajuk yang diberi.

e. Huraian idea luaran seperti pendapat, ulasan, cadangan dan kesimpulan sesuai dan berkembang.

f. Pengolahan yang menarik.

g. Penggunaan frasa atau ayat yang indah, peribahasa dan kata-kata hikmat amat digalakkan.

Khamis, 12 Januari 2012

Kata Nama

Kata nama ialah sejumlah perkataan yang merujuk benda, perkara atau konsep yang umum sifatnya.

Kata nama dapat dibahagi kepada tiga golongan :

1.kata nama khas

2.kata nama am

3.kata ganti nama

Kata nama khas merujuk orang ,haiwan,benda perbadanan atau institusi,bahasa dan seumpamanya . Huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar, contohnya Ramasamy,Sang Harimau,dan Selangor Darul Ehsan.

Kata nama am ialah perkataaan yang merujuk perkara yang umum, contohnya polis,kucing,sekolah,harimau dan kereta.