Rabu, 9 September 2009

Soalan-Soalan Percubaan Bahasa Melayu SPM

Saya link soalan-soalan Percubaan Bahasa Melayu SPM bagi negeri-negeri berikut.

Ucapan terima kasih kepada pihak yang menyumbangkan bahan. Semoga usaha tuan/puan mendapat keberkatan daripada-Nya.

1. Kedah - Kertas 1 , Kertas 2

2. Pahang - Kertas 1 , Kertas 2

3. Melaka - Kertas 1 , Kertas 2

4. Johor - Kertas 1 , Kertas 2

5. SBP - Kertas 1 , Kertas 2

6. Perlis - Kertas 1 dan Kertas 2

7. Perak - Kertas 1 , Kertas 2

8. Yayasan Islam Kelantan - Kertas 1 dan Kertas 2

Isnin, 15 Jun 2009

Soalan 3(a) Kertas 2, Bahasa Melayu SPM

1. Soalan ini tertumpu kepada aspek morfologi.

2. Calon diminta membina ayat berdasarkan perkataan atau pasangan perkataan yang diberikan.

3. Terdapat beberapa jenis kata yang perlu calon kuasai untuk membina ayat. Antaranya ialah:

(a) kata ganda

(b) kata berimbuhan daripada satu kata dasar

(c) pasangan kata berimbuhan

(d) kata homograf

(e) kata dasar dan kata majmuk

(f) kata yang hampir sama bunyi tetapi berbeza makna

(g) kata banyak makna

(h) kata dasar dan kata ganda seluruh

(i) kata ganda dan kata majmuk

(j) kata dasar dan kata ganda berimbuhan

(k) kata berimbuhan pinjaman

Selasa, 21 April 2009

Topik Karangan Untuk Tahun 2009

Peperiksaan Bahasa Melayu Kertas 1 SPM telah pun berlalu. Ramai guru dan pelajar telah pun mengetahui dan menganalisis topik-topik yang ditanya dalam kertas penulisian karangan tersebut. Berdasarkan topik-topik penulisan karangan yang ditanya pada tahun 2008 ini, pelajar tingkatan 4 sudah boleh memberikan perhatian untuk topik-topik penulisan karangan untuk tahun 2009. Pada hemat saya, antara topik-topik penulisan karangan yang perlu diberikan perhatian untuk tahun 2009 seperti:
a. keracunan makanan.
b. kemalangan bas ekspress.
c. pembangunan koridor ekonomi.
d. kenaikan harga barangan pengguna.
e. pemakaian batik dalam kalangan kaki tangan awam.
f. lanjutan usia bersara.
g. pemasangan litar tertutup.
h. latihan penggunaan senjata api di PLKN.
i. penggunaan tali pinggang keledar di tempat duduk belakang kereta.
j. usaha memperkasa bidang pertanian.

Topik-topik yang dikemukakan ini adalah topik-topik yang berkisar pada tahun 2007 dan 2008. Bagaimanapun, perkara yang penting, pelajar mesti menguasai ilmu mengarang dan banyak membaca artikel-artikel yang baik kerana dengan ilmu mengarang dan pembacaan membolehkan pelajar menulis apa-apa sahaja topik untuk penulisan karangan.

Dipetik daripadaMohd Azam Bin Ahmad- Guru Cemerlang Bahasa Melayu (http://ajamsari.blogspot.com)

Rabu, 15 April 2009

Memisahkan Ayat

1. Memisahkan ayat yang mempunyai dua subjek

Ali dan Ahmad pergi ke kedai.
Ali pergi ke kedai.
Ahmad pergi ke kedai.

2. Memisahkan ayat yang mempunyai dua predikat.

Bangunan itu dibina untuk menyimpan kahazanah negara dan peralatan istana.
Bangunan itu dibina untuk menyimpan khazanah negara.
Bangunan itu dibina untuk menyimpan peralatan istana.

3. Memisahkan ayat yang mempunyai dua subjek dan dua predikat

Ali dan Ahmad pergi ke kedai dan makan nasi.
Ali pergi ke kedai.
Ali makan nasi.
Ahmad pergi kedai.
Ahmad makan nasi.

Rabu, 8 April 2009

Kata Hubung

Kata hubung ialah kata yang berperanan atau berfungsi untuk menggabungkan kata dengan kata, ayat dengan ayat atau frasa dengan frasa. Dalam bahasa Melayu baku, kata hubung dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu kata hubung gabungan, kata hubung pancangan dan kata hubung berpasangan.

Kata Hubung Gabungan
Kata hubung gabungan ialah kata hubung yang digunakan untuk menggabungkan kata dengan kata, frasa dengan frasa dan klausa dengan klausa.

Contoh:
atau, bahkan, dan, lalu, kecuali, manakala, melainkan, padahal, sambil, seraya, serta, tetap

Contoh Penggunaan dalam Ayat
1. Kim belum pasti sama ada akan melanjutkan
pelajarannya ke maktab atau ke universiti.
2. “Awak atau saya yang perlu menyiapkan tugasan ini, Zul?” tanya Amin.
3. Anjing dan kucing itu dipelihara oleh orang
kaya itu.
4. Ah Seng dan Karim pergi memancing di lombong tinggal itu.

5. Semua murid di kelas itu membaca buku di perpustakaan kecuali Shamsudin.
6. Datuk Salleh bekerja setiap hari kecuali pada hari Ahad atau hari kelepasan am.

7. Milah masuk ke bilik lalu berbaring di atas tilam yang empuk itu.
8. Anjing garang itu menerkam pencuri itu lalu menggigit punggungnya.

9. Aliah rajin serta gigih berusaha.
10. Ali, Muthu, Salleh, dan Zaidi serta Farid bercadang untuk pergi menonton wayang pada
hari minggu ini.

11. Sally menyanyi sambil menari.
12. Kamala berlari sambil menjinjing beg plastik.

13. Amran suka makan nasi lemak tetapi dia tidak suka makan roti canai.
14. Rumah banglo itu sungguh cantik tetapi harganya terlalu mahal.

dipetik daripada blog Mari Belajar Bahasa (http://maribelajarbahasasksg.blogspot.com)

Ahad, 5 April 2009

Penanda Wacana

Sila klik pada imej untuk paparan yang lebih jelas
Sumber: Juhana Salim & Rashidi Adam (2003). Revisi Prioriti SPM Karangan Tingkatan 4-5.
Petaling Jaya: Sasbadi Sdn. Bhd

dipetik semula dari Bahasa Malaysia SPM (www.bmspm.net)

Khamis, 12 Mac 2009

Jenis-jenis Karangan

Karangan umum terdiri daripada karangan berformat dan tidak berformat.


Karangan Berformat

Karangan dalam bahagian ini terdiri daripada syarahan, ucapan, ceramah, perbahasan, rencana, laporan, surat kiriman rasmi, surat kiriman tidak rasmi, wawancara, ulasan buku, cerpen dan drama.

Setiap bentuk karangan ini mempunyai ciri-ciri tersendiri, seperti berikut:

1. Perbahasan, ceramah, syarahan, ucapan
(menghadap majlis/kata alu-aluan, penghargaan kepada audien seperti ucapan tuan-tuan dan puan-puan, penutup)

2. Surat kiriman rasmi
(nama dan alamat pengirim, nama dan alamat penerima, tarikh, menghadap surat, tajuk, tandatangan)

3. Rencana, laporan, cerpen
(tajuk, nama penulis)

4. Wawancara
(pendahuluan, berbentuk dialog)

5. Ulasan buku
(judul buku, nama penulis, nama penerbit, nama pengulas)

6. Skrip drama
(judul drama, nama penulis, latar tempat/masa, dialog)


Karangan Tidak Berformat

Karangan tidak berformat merangkumi kategori penulisan yang berikut, iaitu perbincangan/bincangkan, perbahasan/bahaskan, ulasan, komen, fakta, pendapat, penjelasan/jelaskan, cadangan, gambaran/imaginasi.

Rabu, 11 Mac 2009

Karangan Umum

1. Soalan Bahagian B dalam Kertas 1 Bahasa Melayu SPM

2. Markah yang diperuntukan sebanyak 100 markah

3. Perlu disiapkan dalam masa 90 minit.

4. Panjang karangan perlu melebihi 350 patah kata.


Maklumat Penting Karangan Umum

1. Tajuk karangan meliputi dimensi diri, keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa.

2. Soalan kelima dalam bahagian ini berkaitan dengan karangan berunsur sastera.

3. Calon perlu menguasai tema-tema yang berkaitan dengan penulisan karangan umum.

4. Calon hendaklah memahami kehendak soalan.

5. Idea-idea yang dikemukakan perlulah relevan dengan tugasan/kehendak soalan.

6. Calon mengemukakan minimum TIGA idea utama yang dihuraikan dan disokong dengan contoh yang sesuai.

7. Terdapat karangan yang berformat khusus dan tidak berformat.

8. Karangan mengandungi tiga aspek, iaitu pendahuluan, isi dan penutup.

9. Karangan perlu mempunyai TUJUH perenggan dengan anggaran setiap perenggan mempunyai 50 patah perkataan, meliputi:

a. Perenggan 1 - Pendahuluan
b. Perenggan 2 hingga 6 - Isi
c. Perenggan 7 - Penutup

10. Sila link ke bahagian-bahagian berikut untuk keterangan seterusnya:

a. Jenis-jenis karangan

b. Pemerengganan karangan

c. Penulisan pendahuluan karangan

d. Penulisan isi-isi karangan

e. Penulisan penutup karangan

Selasa, 10 Mac 2009

Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan

1. Soalan Bahagian A dalam Kertas 1 Bahasa Melayu SPM

2. Wajib dijawab oleh calon

3. Peruntukan markah sebanyak 30 markah

4. Panjang karangan antara 200 hingga 250 patah perkataan

Panduan Penulisan

1. Kenal pasti tema yang ingin disampaikan melalui tajuk bahan atau kata kunci soalan

2. Kata kunci dikenal pasti melalui arahan soalan seperti berikut:

* "Huraikan pendapat anda tentang punca-punca............" bermaksud calon hanya perlu menyatakan punca sahaja.

* "Bincangkan tentang budaya menabung........." bermaksud calon menghuraikan tentang cara dan kebaikan menabung.

3. Karangan mestilah mengandungi pendahuluan, isi (sekurang-kurangnya tiga isi yang lengkap dengan huraian dan contoh) serta penutup.

4. Berikut diberikan panduan cara menulis bahagian-bahagian utama dalam karangan ini:

a. Penulisan Pendahuluan

b. Penulisan isi

c. Penulisan Penutup

Pendahuluan Karangan Berdasarkan Bahan Rangsangan

1. Calon dikehendaki menulis ayat yang mengandungi pengenalan atau definisi tajuk atau bahan yang diberi.

2. Huraian atau contoh yang diberi akan menggambarkan pemahaman calon terhadap tema atau bahan rangsangan tersebut.


Contoh Pendahuluan 1


Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang cara-cara mencegah gejala buli di sekolah. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah kata.

Gejala Buli Di Sekolah












Gejala buli melibatkan perbuatan mengasari seseorang yang lemah dengan tujuan menunjukkan kekuatan. Seseorang yang lemah akan mematuhi arahan dan menghormati mereka yang dianggapnya kuat. Buli boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu buli dari segi fizikal dan buli dari segi mental.


Contoh Pendahuluan 2

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kesan-kesan pembakaran terbuka. Panjang huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah kata.

Pembakaran Terbuka












Pembakaran terbuka merupakan pembakaran sampah sarap, belukar, hutan atau sisa-sisa pertanian di kawasan lapang secara terbuka. Kegiatan ini biasanya dilakukan selepas penebangan hutan, penuaian padi dan pembuangan sampah di kawasan yang tidak diwartakan. Pembakaran terbuka ini boleh merosakkan alam sekitar dan menyebabkan pencemaran udara yang berleluasa.

Isnin, 9 Mac 2009

Rumusan

1. Dikemukakan sebagai Soalan 1 dalam Kertas 1103/2 Bahasa Melayu SPM.

2. Panjang petikan yang dikemukakan kira-kira 350 patah perkataan.

3. Panjang rumusan yang dibuat tidak melebihi 120 patah perkataan.

4. Markah yang diperuntukan sebanyak 30 markah.

Rumusan Yang Cemerlang

1. Rumusan yang cemerlang perlu memenuhi syarat berikut:

a. Menepati kehendak soalan

b. Mempersembahkan idea secara teratur dengan pendahuluan, isi-isi penting dan kesimpulan

c. Mempunyai isi-isi penting secukupnya, meliputi isi-isi tersurat dan isi-isi tersirat

d. Menggunakan bahasa baku dengan ejaan dan tanda baca yang betul

e. Menggunakan kosa kata yang tepat dan sesuai dengan laras bahasa petikan asal

2. Markah penuh bagi soalan ini ialah 30 dengan pembahagian seperti berikut:
isi – 10 isi X 2 markah = 20 markah
bahasa – 10 markah

3. Markah isi dibahagikan kepada bahagian berikut:
pendahuluan 2 markah
isi tersurat 8 - 12 markah
isi tersirat 4 - 8 markah
penutup 2 markah

4. Perkara yang perlu ada dalam rumusan
Pendahuluan
Isi Tersurat
Isi Tersirat
Penutup


Menganalisis Soalan Rumusan

1. Baca arahan dengan teliti.

2. Fahami penanda tugasan, yakni kata kunci dalam arahan soalan yang secara jelas menyatakan bahawa soalan itu adalah soalan 'merumus karangan'.

3. Kenal pasti fokus soalan, iaitu fokus pertama (F1) dan fokus kedua (F2) seperti langkah, punca, kesan, faktor-faktor, sebab dan sebagainya.

Arahan soalan
Baca petikan di bawah ini dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang budaya kerja dalam kalangan rakyat Malaysia dan langkah membaikinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

Penanda tugasan Tulis rumusan
Fokus pertama Budaya kerja dalam kalangan rakyat Malaysia
Fokus kedua Langkah-langkah membaikinya
Kehendak soalan Menulis rumusan tidak melebihi 120 patah kata tentang budaya kerja dalam kalangan rakyat Malaysia dan langkah-langkah membaiki budaya kerja tersebut.

Sila link ke bahagian berikut untuk keterangan seterusnya

Pendahuluan Rumusan

Isi Tersurat
Isi Tersirat
Kesimpulan Rumusan
Cara Menanda Skrip Rumusan


Cara Menanda Skrip Rumusan

Garis Panduan Sebelum Mula Menanda.

1. Kira jumlah perkataan yang ditulis oleh pelajar. Jika melebihi 120 patah perkataan, letakkan tanda ( // ) pada perkataan ke 120. Jika ayat terakhir berakhir pada jumlah perkataan melebihi 120, maka seluruh ayat tidak dikira sebagai satu isi.

2. Cara mengira jumlah perkataan :
* Kata nama khas/ peribahasa/ kata-kata hikmat/ kata sendi nama/ imbuhan - 1 perkataan
* Kata nama am/ penanda wacana - ikut bilangan perkataan
Contoh : Di samping itu : 2 patah perkataan
Begitu juga halnya dengan : 4 patah perkataan

3. Jika pelajar menulis rumusan dalam bentuk penomboran, markah bahasa diberi 50 % daripada markah yang sepatutnya pelajar dapat.

4. Jika pelajar menyalin seluruh petikan, pastikan penyalinan semula itu 100% serupa dengan petikan yang tertera pada kertas soalan termasuk tanda baca ( titik, koma ).Jika tidak disalin 100%, maka tanda setakat isi yang betul sahaja dalam lingkungan 120 patah perkataan.

5. Sediakan skema lengkap untuk pengenalan, isi tersurat, isi tersirat dan kesimpulan

6. Sediakan ruang untuk mencatat markah
Contoh :

P=
_______

S1
S2
S3
S4
S5
S6
S7
S8
_______

T

_______
k
( Markah ini diletakkan di sebelah kanan skrip pelajar )


Markah akhir :
P =
S =
T =
K =
______
I
B
______
J
______

P- pengenalan, S = Isi tersurat, T= Isi tersirat, K= Kesimpulan
I = Isi ( P + S + T + K )
B = Bahasa ( Biasanya separuh daripada markah isi

Arahan :
1. Baca ayat pelajar dengan teliti.
2. Jika pengenalan pelajar tepat, tandakan pada hujung ayat.
Contoh :

Pengenalan membincangkan sebab pelajar ponteng sekolah. / P 2
( Maksud : Pengenalan betul - 2 markah )

3. Jika isi pelajar tepat, tandakan pada hujung ayat :
Contoh :

Pelajar ponteng sekolah kerana dipengaruhi rakan sebaya. / S1- 2
Maksud isi tersurat nombor 2 (S2) tepat.

4. Pindahkan markah ke ruang yang disediakan ( seperti catatan nombor 6 di atas )

5. Akhir, jumlahkan semua markah isi
Contoh P = 2
S = 10
T = 4
K = 2
--------
I = 18
B = 7/8/9
--------
J= 25/ 26/ 27


NOTA PANDUAN :

1. Pengenalan ditulis dalam bentuk tema / menukar kata kunci atau arahan soalan.
2. Isi tersurat : Hanya isi dalam petikan diterima
3. Isi tersirat : Tiada mana-mana bahan petikan boleh diterima. Cipta pendapat baru
4. Kesimpulan : Mengandungi pihak, cadangan dan justifikasi cadangan.

Dipetik daripada Blog Cikgu Abdul Razak Bin Hassan

Ahad, 1 Mac 2009

Kata Nama Khas

1. Kata nama khas merujuk kepada nama sesuatu benda yang khusus.

2. Kata nama terbahagi kepada dua jenis, iaitu:
a. Kata nama khas hidup
b. Kata nama khas tak hidup

3. Kata nama khas hidup pula terbahagi dua, iaitu kata nama khas hidup manusia dan bukan manusia.

a. Kata nama khas hidup

i. Kata nama khas hidup manusia, contohnya Azizul, Rahman, Tun Abdul Razak dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi

ii. Kata nama khas bukan manusia, contohnya Sang bedal, Comel, Habiscus Rosa Sinensis (Bunga Raya)

b. Kata nama khas tak hidup, contohnya Proton Wira, Tatabahasa Dewan, Tanjung Dawai dan Wisma Darulaman

4. Berikut beberapa contoh penggunaan kata nama khas dalam ayat:

i. Baju John Master itu mahal harganya.

ii. Sang Kancil berjaya memperdaya harimau dalam cerita itu.

iii. Ahmad suka bermain bola sepak.

iv. Pulau Pinang dikenali juga sebagai Pulau Mutiara.

Kata Nama Am

1. Kata nama am merupakan perkataan yang merujuk kepada orang, binatang, benda atau tempat secara am atau secara umum.

2. Kata nama am terbahagi kepada dua jenis, iaitu:
a. Kata nama am abstrak
b. Kata nama am konkrit

a. Kata nama am abstrak merupakan nama sesuatu yang hanya dibayangkan sebagai ada dalam fikiran atau khayalan, misalnya:

mimpi, diktator, kehendak
sengsara, idaman, perhimpunan


b. Kata nama am konkrit merupakan nama sesuatu yang dapat dilihat atau dapat dipegang dan dapat dirasaken kewujudannnya, misalnya:

danau, guru, awan
kucing, titi, asap

3. Berikut diberikan beberapa contoh penggunaan kata nama am dalam ayat;

i. Kereta itu berwarna hitam.

ii. Ular itu sedang membelit mangsanya.

iii. Pelajar itu sedang mengulankaji pelajaran.

iv. Bapa Ahmad bersolat di surau.

Isnin, 16 Februari 2009

Penulisan Kata Bahasa Melayu

Rangkai Kata Umum

Semua frasa atau rangkai kata sama ada dua atau lebih hendaklah ditulis terpisah, contohnya:


jalan raya, lebuh raya, bandar raya, kereta api, ambil alih, susun atur, maklum balas, tengah hari, warga kota, atur cara, sari kata, urus setia, reka bentuk, kemas kini

Kekecualian bagi nama khas yang digezetkan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Keretapi Tanah Melayu


Kata Yang Telah Mantap

Kata yang telah mantap ditulis sebagai satu perkataan, contohnya:

kerjasama, kakitangan, sukarela, matahari, setiausaha, warganegara, antarabangsa, bumiputera, suruhanjaya, pesuruhjaya, tandatangan, tanggungjawab, jawatankuasa, olahraga, beritahu


Rangkai Kata Umum Berimbuhan

a. Kata yang menerima awalan atau akhiran sahaja ditulis sebagai dua perkataan, contohnya:

diambil alih, menerima pakai, kenal pastikan, diguna semula

b. Kata yang menerima apitan ditulis sebagai satu perkataan, contohnya:

pengambilalihan, pengenalpastian, pengemaskinian


Penggunaan Huruf Besar dan huruf Kecil

a. Nama khas -

Ahad, 15 Februari 2009

Isi Tersurat

1. Isi tersurat bermaksud isi-isi yang dinyatakan atau dipaparkan dalam petikan.

2. calon-calon dikehendaki menyenaraikan isi-isi utama dalam petikan.

3. Biasanya sesuatu petikan mengandung 2 - 8 isi tersurat.

4. Isi tersurat ini MESTI menepati dan berada dalam ruang lingkup kehendak arahan soalan.

5. Dicadangkan isi tersurat ini dipersembahkan dalam bentuk satu ayat bagi setiap isi.

6. Isi tersurat perlu mempunyai subjek dan predikat sahaja. Semua unsur keterangan dalam subjek dan predikat tidak perlu diambil sebagai isi tersurat.

7. Penerangan subjek dan penerangan predikat dapat dikenal pasti, antaranya:

a. Contoh langsung - contohnya, misalnya, termasuk, umpamanya, dalam bentuk dan lain-lain.

Jumlah media cetak seperti akhbar, buku dan majalah telah berkembang dengan pesat.

b. Contoh tidak langsung - dengan, menerusi, ialah dan lain-lain.

Tindakan kerajaan terhadap pengemis dengan menangkap, menempatkan di rumah kebajikan atau menghantar pengemis asing ke negara asal mereka menelan belanja yang besar.

c. Huraian sesuatu konsep

MARDI badan yang memainkan peranan utama dalam menjalankan penyelidikan dalam bidang pertanian berjaya menemui baka koko jenis baru.

d. Huraian isi

Setiap sekolah perlu mempunyai kakitangan dan peralatan yang mencukupi. Tidak masuk akal sekiranya pengajaran dan pembelajaran tidak boleh dilakukan kerana masalah kekurangan guru dan kekurangan alat bantu mengajar.

Isi Tersirat

1. Isi tersirat tidak terdapat petikan.

2. isi tersirat perlu diolah sendiri oleh calon berdasarkan fokus kedua dalam soalan.

3. Isi tersirat MESTI menjawab/memenuhi kehendak arahan soalan.

4. Dicadangkan isi tersirat dipersembahkan dalam satu ayat bagi setiap isi.

5. Isi tersirat memerlukan calon berfikir secara kreatif dan kritis.

6. Dicadangkan minima dua (2) isi tersirat.

7. Berikut diberikan beberapa contoh mencari isi tersirat.

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang langkah-langkah mengatasi masalah demam denggi dan implikasinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

Isi tersirat

a. Wabak denggi mudah berjangkit dan membawa maut.

b. Wabak denggi boleh menyebabkan demam yang berpanjangan dan menggganggu tugas seharian kita.

Kesimpulan Rumusan

1. Kesimpulan ialah cadangan/gagasan/harapan.

2. Kesimpulan merupakan rayuan calon kepada pihak-pihak tertentu untuk melakukan sesuatu supaya isu yang dibincangkan diambil tindakan.

3. Kesimpulan perlu dibuat dalam satu ayat sahaja.

4. Kesimpulan seelok-eloknya dimulakan dengan:

Kesimpulannya,...............
Kerjasama semua pihak perlu untuk ..............
Oleh yang demikian,.................

Pendahuluan Rumusan

Menulis Pendahuluan

1. Pendahuluan bermaksud pemahaman calon tentang keseluruhan petikan.
2. Jadi, isi pendahuluan ialah idea utama/tema/isi pokok.
3. Kata kunci arahan soalan (FS) boleh dijadikan panduan untuk menulis pendahuluan.
4. Baca petikan yang dikemukakan dengan teliti.
5. Fahami maksud keseluruhan petikan dan kenal pasti mesej utamanya.
6. Ingat semula fokus soalan (FS), iaitu fokus pertama (F1) dan fokus kedua (F2) yang diperolehi semasa menganalisis soalan.
8. Bina pendahuluan rumusan berdasarkan idea utama/keseluruhan petikan.
9. Seelok-elok pendahuluan ditulis dalam satu ayat dan dimulakan dengan:

Petikan membincangkan .................
Petikan menyentuh ..................
Petikan memperkatakan ................

10. Berikut diberikan contoh menulis pendahuluan petikan rumusan:

Arahan soalan
Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini dan kesan-kesannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.

Pendahuluan:
Petikan membincangkan masalah yang berpunca daripada kemasukan pekerja asing ke negara kita. (2 markah)

Petikan membincangkan tentang sebab-sebab kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini dan kesan-kesannya.

Petikan membincangkan punca-punca kedatangan pendatang asing ke negara ini. (1 markah)